Thursday, 8 October 2009

Pantun Agama


Pantun Agama
Sungguh indah pintu dipahat

Burung puyuh di atas dahan

Kalau hidup hendak selamat

Taat selalu perintah Tuhan


Halia ini tanam-tanaman

Ke barat juga akan rebahnya

Dunia ini pinjam-pinjaman

Ke akhirat juga akan sudahnya


Redup bulan nampak nak hujan

Pasang pelita sampai berjelaga

Hidup mati di tangan Tuhan

Tiada siapa dapat menduga


Belatuk di atas dahan

Terbang pergi ke lain pokok

Hidup mati ditangan Tuhan

Kepada Allah kita bermohon


Daun tetap di atas dulang

Anak udang mati dituba

Dalam kitab ada terlarang

Perbuatan haram jangan dicuba


Terang bulan terang bercahaya

Cahaya memancar ke Tanjung Jati

Jikalau hendak hidup bahagia

Beramal ibadat sebelum mati


Asam kandis asam gelugur

Ketiga asam si riang-riang

Menangis mayat di pintu kubur

Teringat jasad tidak sembahyang


Kulit lembu celup samak

Mari buat tapak kasut

Harta dunia janganlah tamak

Kalau mati tidak diikut


Banyaklah masa antara masa

Tidak seelok masa bersuka

Meninggalkan sembahyang jadi biasa

Tidak takut api neraka?


Dua tiga empat lima

Enam tujuh lapan sembilan

Kita hidup takkan lama

Jangan lupa siapkan bekalan


Kalau Tuan pergi ke Kedah

Singgah semalam di Kuala Muda

Sembahyang itu perintah Tuhan

Jika ingkar masuk neraka


Ramai orang menggali perigi

Ambil buluh lalu diikat

Ilmu dicari tak akan rugi

Buat bekalan dunia akhirat


Pak Kulup anak juragan

Mati diracun muntahkan darah

Hidup di dunia banyak dugaan

Kepada Allah kita berserah

No comments:

Post a comment